pinjaman kata dari pujangga :)

Daripada Anas r.a, katanya : “ Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda : Allah s.w.t telah berfirman :
“ Wahai anak Adam ! Sesungguhnya selagimana kamu meminta dan berharap kepada-Ku, maka Aku akan mengampuni segala dosa yang telah kamu lakukan dan Aku tidak pedulikannya lagi.
Wahai anak Adam ! Sekiranya dosamu setinggi langit, kemudian kamu memohon ampun kepada-Ku, nescaya Aku mengampuni dosamu.
Wahai anak Adam ! Jika kamu datang kepadaKu dengan kesalahan sepadat isi bumi, kemudian kamu menemui-Ku di akhirat dalam keadaan kamu tidak menyekutukan-Ku dengan yang lain, nescaya Aku datang kepadamu dengan keampunan sepenuh bumi pula.”
[ Hadis riwayat Tirmizi ]

Thursday, November 29, 2012

sakit.

jujur aku sakit.
sangat sakit.

kalau luka,
ada parutnya,
kalau paku,
ada bekasnya.

inikan pula hati.
jelas memang sakit.

aku cuba berhenti.
selalu mencuba.
jangan curi hati aku.
jangan simpan hati aku.
jika hanya untuk dilukai,
jika hanya untuk disakiti.
jika hanya untuk dibawa pergi.

#tolong, faham. tolong, saya merayu.

Friday, November 16, 2012

tak selamanya

tak selamanya kita akan bersama,
dalam mengharungi suka duka,
kerana kita sesama manusia,
pasti ada yang lupa.

dalam menempuh alam dunia,
akhirat jangan kita lupa,
tidak bertemu di dunia,
kita bertemu di akhirat pula.

tak selamanya kita di dunia,
tak selamanya kita akan bersama,
tak selamanya kita ditakuk lama,
tak selamanya kita mengulang dosa yang sama.

yang bermula, ada akhirnya.
bila akhir, ada tangisnya,
bila tangis, ada sendunya,
bila sendu, ada dukanya.

#yang KEKAL itu hanya kasih sayang Allah. Tak PERNAH putus hingga kiamat menjelang. Cari Allah di dunia. Allah akan cari kita di akhirat pula. :)


Monday, November 12, 2012

aku hanya hamba.


aku hanya hamba.
duduk di sudut dunia.
dosa-dosa tidak terkira.
tapi mahu berubah.

Allah, Engkau sandaran.
Allah, Engkau pembimbing.

aku hanya hamba.
selalu lemah.
selalu hina.
tapi mahu berubah.

Allah, beri aku kekuatan.
Allah, beri aku petunjuk.

aku hanya hamba.
hamba yang hina. 


#berubahlah ke jalan Allah meskipun payah. tidak Allah menguji seseorang hamba-Nya itu melainkan untuk menambahkan iman di dadanya. :)

Sunday, November 11, 2012

kaku

masih kaku.
statik di sini.
kerana apa?
sendiri tak pasti.

engkau terpaksa mengejar?
atau ingin dikejar?
atau telah terkejar?

pilihan ada di tanganmu.
pilihlah sebaiknya.
putuskan seadilnya.

atau kau pilih untuk terus kaku.
terus statik di situ.
ubahlah apa yang perlu.

hidupmu tidak statik di situ.

:)

#keputusan yang paling berat adalah keputusan untuk istiqamah dalam hijrah.

Wednesday, November 7, 2012

habuk

jeda.
perhati kiri dan kanan.
tepis kiri,
tepis kanan.

lama ditinggalkan.
entah berfungsi.
entah tidak.

hati, mula teruja.
bila lama jeda.
habuk.
kecamuk.

pergi lagi.


#mood : sukar disangka air yang tenang jangan disangka tiada buaya.

Monday, August 20, 2012

mari :)


Mari sahabat, kita menjadi hamba..
Hamba kepada sang Khaliq. Pemilik semesta alam ini.
Marilah sahabat, tangislah segala dosa-dosamu.
Kepada Ar-Rahim, sesungguhnya rahmat-Nya melebihi murka-Nya.
Mari sahabat, kita kembali,
 Kepada yang menciptakan kita.
Mari sahabat, pimpinlah tangan ini, menuju syurga-Nya.
Mari sahabat, kita belum terlambat, selagi nyawa kita masih ada.
Mari sahabat, kita belajar mencintai-Nya. Kita belajar memahami agama-Nya.
Mari, aku perlukan kamu. Begitu juga kamu, perlukan aku.
 Bersama-samalah kita mencari, menggapai cinta nan satu.
J
Ya Allah, terimalah kami, hamba-hamba-Mu yang penuh dengan kekhilafan yang tiada hentinya.
Ya Muhaymin, jagalah hati kami dari muslihat dunia-Mu yang menghancurkan kami.
Ya Sami, dengarlah segala rintihan hati kami yang rindu akan syurga-Mu.
Ya Khaliq, Yang memiliki alam ini, bantulah hamba-hamba-Mu yang tidak berdaya keseorangan di dunia ini.
Engkaulah penyelamat kami, Engkaulah sandaran kami.

tangisan dan dunia


Tangisan dan dunia

Ibnu Qayyim menyatakan terdapat 10 jenis tangisan di dunia ini iaitu :
1)      Tangisan kerana kasih saying dan kelembutan hati.
2)      Tangisan kerana rasa takut.
3)      Tangisan kerana cinta.
4)      Tangisan kerana gembira.
5)      Tangisan kerana menghadapi penderitaan.
6)      Tangisan kerana terlalu sedih.
7)      Tangisan kerana terasa hina dan lemah.
8)      Tangisan untuk mendapat belas kasihan orang.
9)      Tangisan kerana terikut-ikut orang lain.
10)   Tangisan orang munafik – berpura-pura menangis.

Dan Allah berfirman
“ … dan bahawasanya Dialah yang menjadikan orang tertawa dan menangis “ ( anNajm : 43)

Oleh yang demikian, Allahlah yang menciptakan ketawa dan tangis. Dia jugalah yang menciptakan situasi-situasi yang membawa kepada tangisan dan ketawa. Air mata, sumbernya dari mata. Tidak pernah terputus, tidak pernah berhenti dari menghasilkan air mata. Mata itu kecil tapi mampu menghasilkan air yang tidak henti-henti mengalir sehari-harian( jika kamu berkehendakan). Kalaulah ditampung air mata itu, boleh banjir dunia ini.
Kamu ada pilihan untuk memilih. Tangisan itu kerana dunia, atau kerana akhirat atau kerana apa. Tangisan itu boleh jadi terpuji atau tercela. Tercelanya tangisan itu, apabila kamu meratapi saat kematian seseorang, bukan kamu menginsafi kematian itu. Bukan kerana kamu menginsafi bahawa kamu juga akan kembali kepada yang menciptakan kamu.
Bahkan, tangisan itu boleh jadi sangat terpuji, apabila air mata yang mengalir itu adalah air mata penyesalan atas dosa-dosa yang telah kamu ukirkan dalam hidup kamu. Tangisan itu boleh menjadi tangisan yang paling berharga dalam tahajjud malammu.
Jangan lupa, bahawasanya, air mata itu mampu memadamkan api neraka jahanam.
Rasulullah S.A.W bersabda : “ Tidaklah mata seseorang itu menitiskan air mata kecuali Allah akan mengharamkan tubuhnya dari api neraka. Dan apabila air matanya mengalir ke pipi maka wajahnya tidak akan terkotori oleh debu kehinaan, apabila seorang daripada sesuatu kaum menangis, maka kaum itu akan dirahmati. Tidaklah ada sesuatu pun yang tidak mempunyai kadar dan balasan kecuali air mata. Sesungguhnya air mata dapat memadamkan lautan api neraka, “
Air mata Nabi Adam A.S
Nabi Allah, Adam A.S menangis selama 300 tahun tanpa mendongak ke langit kerana berasa tersangat takut dan hibanya terhadap dosa-dosa yang telah dilakukannya. Dia bersujud di atas gunung dan air matanya mengalis di jurang Serandip. Kesan dari air matanya itulah, Allah telah menciptakan pohon kayu manis dan pohon bunga cengkih. Kemudiannya, beberapa ekor burung telah meminum air mata Adam lalu berkata “ Manis sungguh air ini, “ Nabi Adam menyangka burung itu mempersendakannya, lalu Nabi Adam memperhebatkan tangisanya. Lalu Allah mendengar dan menerima taubat dari hamba-Nya yang khilaf itu dan mewahyukan, “ Hai Adam, sesungguhnya Aku belum pernah menciptakan air selazat air mata taubatmu itu, “ air mata yang tiada tuntutan.
Janganlah menangis kerana markah kamu tidak seperti yang diharapkan. Allah memberi kamu secukupnya dengan daya yang kamu usahakan.
Janganlah menangis kerana cinta tidak kesampaian. Allah telah tentukan jodoh kamu dengan orang yang terbaik untuk kamu.
Janganlah menangis kerana dimarahi atau ditegur. Allah itu ada dan sedia mendengar rintihan kita.
Janganlah menangis kerana wang kita hilang di jalanan. Mungkin Allah sedang mensucikan rezeki kita yang kurang bersedekah.
Oleh itu,
Simpanlah air matamu untuk sesuatu yang lebih bernilai. Simpanlah air matamu itu untuk dijadikan bekalan bagi menginsafi diri dari dosa-dosa yang pernah dilakukan. Segala dosa-dosa yang menjadi bintik hitam yang telah mengkelamkan hati hingga sukar menerima hidayah dari Allah. Serulah air mata itu dari persembunyiannya di sebalik kelopak mata agar menitis bagi membasuh dan mencuci hati agar kembali putih. Dan juga, semoga dapat meleburkan dosa-dosa dan mendapat keampunan-Nya juga.
Menangislah kerana kamu telah sedaya upaya meraih keredhaan Allah.
Menangislah kerana kamu telah berbuat dosa dan bertaubat.
Menangislah kerana kamu takut maut menjemputmu kala dosa masih berbukit.
Rasulullah S.A.W bersabda : “ Ada 2 mata yang tidak tersentuh api neraka, mata yang menangis di malam hari kerana takut kepada Allah dan 2 mata yang menjaga pasukan fi sabilillah di waktu malam ,”
“ Di antara 7 golongan manusia akan mendapat naungan Allah di hari Qiamat adalah seseorang yang berzikir bersendirian lalu terkenangkan kebesaran Allah SWT kemudian bercucuran air mtanya, “
“ Jika tubuh seseorang hamba gementar kerana takut kepada Allah, maka gugurlah dosa-dosanya bak gugurnya dedauan di pepohonan yang kering, “
Salman Al-Farisi R.A berkata, saya menangis kerana 3 perkara :
1)      Berpisah dengan Rasulullah S.A.W dan para sahabat.
2)      Ketakutan seseorang yang perkasa tatkala melihat malaikat maut datang mencabut nyawanya.
3)       Ketika, saya tidak tahu sama ada saya akan diperintahkan untuk ke syurga atau neraka.
Air mata tanda rahmat Allah
Rasulullah S.A.W bersabda :
Jagalah mayat ketika kematianya dan perhatikan 3 perkara :
1)      Perhatikan apabila dahinya berpeluh.
2)      Air matanya berlinangan.
3)      Hidungnya keluar cecair seperti hingus.
Kerana hal-hal tersebut menandakan rahmat Allah SWT kepada si mati ,” ( riwayat Salman al-Farisi )
Sucikanlah 4 hal dengan 4 perkara :
“ Wajahmu dengan linangan air mata keinsafan, lidahmu basah dengan berzikir kepada Allah, hatimu takut dan gementar kepada kehebatan Rabbmu, dan dosa-dosa silam disulami taubat kepada Dzat yang memilikimu, “

Sekian terima kasih. J
Alhamdulillah.


Thursday, July 26, 2012

ramadhan kali ini

salam ramadhan almubarak untuk diri aku... :) 


 sekarang ni tibalah masa aku untuk buang segala habuk-habuk yang bersarang dalam minda dan blog aku ni. dah lama aku tak menjengah dan masa pula terbatas. aku terperangkap dalam operasi masa yang membebankan. terasa pantas masa berlalu, sedar tak sedar umur aku dah menjengah angka 20. terfikir-fikir sumbangan aku terhadap keluarga, sumbangan aku terhadap agama.


 terasa hari-hari aku terisi dengan dunia tanpa menoleh sedikit pun pada akhirat. :(


 ramadhan kali ini sengaja aku ciptakan masa untuk berdua dengan Tuhan supaya dapat berdua-duaan dalam sujud yang panjang, supaya dapat aku membaca dan memahami serta mendalami surat cinta dan ayat-ayat indah yang terkandung di dalamnya. 


 ramadhan kali ini, sengaja aku ciptakan rindu kepada Muhammad S.A.W agar berterusan rindu untuk bertemunya di syurga Allah. 


 ramadhan kali ini, janganlah Engkau jadikan ramadhan yang terakhir untuk aku dan keluargaku.


 ramadhan kali ini, biarlah lebih sempurna dari ramadhan sebelumnya.


 ramadhan kali ini, biarlah penuh dengan cinta kepada-Mu dan rindu pada Rasul-Mu, Muhammad S.A.W..


 jika ini ramadhanku yang terakhir, aku berharap ramadhan kali ini aku dapat buat yang terbaik sehabis baik dari sebelumnya. semoga ramadhan ini dapat mengajar aku istiqamah dalam amalan. 


biar sedikit ayat-Mu aku baca, asalkan istiqamah itu sudah memadai. 


 Muhammad Pesuruh Allah berpesan kepada kita, lakukanlah ibadat walaupun sedikit asalkan istiqamah itu lebih baik dari tidak berbuat apa-apa. 


 Insya-Allah, segala yang aku lakukan tidak lain untuk Islam juga.


 dan aku berharap, suatu hari nanti, akan tiba masa di mana idea-idea aku lebih ke arah membangkitkan ciri-ciri islami dalam penulisan. :) Amin~~~~~~ 




 salam kasih, 
 Hannan Hani

Monday, May 21, 2012

Sekadar PerkOngsian : KELEBIHAN bulan REJAB...

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh


 سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 


 Dengan berkat dan rahmat dari Allah SWT,saya berkesempatan berkongsi sedikit ilmu sempena bulan Rejab. 
 Diriwayatkan bahawa Nabi SAW telah bersabda: “Ketahuilah bahawa bulan Rejab itu adalah bulan ALLAH, maka :


→ Barangsiapa yang berpuasa SATU hari dalam bulan Rejab dengan ikhlas, maka pasti ia mendapat keredhaan yang besar dari ALLAH SWT.
→ Barangsiapa yang berpuasa DUA hari dalam bulan Rejab akan mendapat kemuliaan di sisi ALLAH SWT.
→ Barangsiapa berpuasa TIGA hari dalam bulan Rejab, maka ALLAH akan menyelamatkannya dari bahaya dunia, seksa akhirat, dari terkena penyakit gila, penyakit putih-putih di kulit badan yang menyebabkan sangat gatal dan diselamatkan dari fitnahnya syaitan dan dajjal. 
→ Barangsiapa yang berpuasa LIMA hari dalam bulan Rejab, permintaannya akan dikabulkan oleh Allah SWT. 
→ Barangsiapa berpuasa TUJUH hari dalam bulan Rejab, maka ditutupkan tujuh pintu neraka jahanam
→ Barangsiapa berpuasa LAPAN hari dalam bulan Rejab, maka dibukakan lapan pintu syurga baginya. 
→ Barangsiapa berpuasa LIMA BELAS hari dalam bulan Rejab maka ALLAH akan mengampuni dosa-dosanya yang lalu dan menggantikan kesemua kejahatannya dengan kebaikan, dan 
→ Barangsiapa yang menambah (hari-hari puasa) maka ALLAH akan menambahkan pahalanya. Sabda Rasulullah SAW: “Pada malam Mikraj, saya melihat sebuah sungai yang airnya lebih manis dari madu, lebih sejuk dari ais dan lebih harum dari minyak wangi, lalu saya bertanya Jibril as: “Wahai Jibril untuk siapakah sungai ini?” Jibril as berkata: “Ya Muhammad sungai ini adalah untuk orang yang membaca selawat untuk engkau dibulan Rejab.”
 Dalam sebuah riwayat Tsauban bercerita: “Ketika kami berjalan bersama-sama Nabi SAW melalui sebuah kubur, lalu Nabi berhenti dan Baginda menangis dengan amat sedih, kemudian baginda berdoa kepada ALLAH SWT. 
Lalu saya bertanya Rasulullah SAW: “Ya Rasulullah SAW, mengapakah anda menangis?” Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Wahai Tsauban, mereka itu sedang diseksa dalam kubur mereka, dan saya berdoa kepada ALLAH, lalu ALLAH meringankan seksa ke atas mereka."
 Sabda Rasulullah SAW lagi: “Wahai Tsauban, kalaulah sekiranya mereka ini mahu berpuasa SATU hari saja dalam bulan Rejab, dan mereka TIDAK TIDUR semalaman sahaja di bulan Rejab nescaya mereka tidak akan diseksa dalam kubur.” Tsauban bertanya: “Ya Rasulullah SAW, apakah hanya berpuasa satu hari dan beribadah satu malam dalam bulan Rejab sudah boleh mengelakkan dari seksa kubur?” Sabda Rasulullah SAW: “Wahai Tsauban, demi ALLAH Zat yang telah mengutus saya sebagai nabi, tiada seorang muslim lelaki dan perempuan yang berpuasa satu hari dan mengerjakan solat malam sekali dalam bulan Rejab dengan niat kerana ALLAH, kecuali ALLAH mencatatkan baginya seperti berpuasa SATU TAHUN dan mengerjakan solat malam satu tahun.” Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya Rejab adalah bulan ALLAH, Sya’ban adalah bulan aku (Rasulullah SAW) dan bulan Ramadhan adalah bulan umatku.” “Semua manusia akan berada dalam keadaan lapar pada hari kiamat, kecuali para nabi, keluarga nabi dan orang-orang yang berpuasa pada bulan Rejab, Sya’ban dan bulan Ramadhan. Maka sesungguhnya mereka kenyang serta tidak ada rasa lapar dan haus bagi mereka.”




 KELEBIHAN BULAN REJAB : 


Beberapa hadis lagi Rasulullah SAW menunjukkan kelebihan bulan Rejab : 
1. Hendaklah kamu memuliakan bulan Rejab, nescaya Allah memuliakan kamu dengan seribu kemuliaan di hari Qiamat. 
 2. Bulan Rejab bulan Allah, bulan Sya’ban bulanku, dan bulan Ramadhan bulan umatku.
 3. Kemuliaan Rejab dengan malam Isra’ Mi’rajnya, Sya’ban dengan malam nisfunya, dan Ramadhan dengan Lailatul-Qadarnya.
 4. Puasa sehari dalam bulan Rejab mendapat syurga yang tertinggi (Firdaus). Puasa dua hari dilipatgandakan pahalanya. 
 5. Puasa 3 hari pada bulan Rejab, dijadikan parit yang panjang yang menghalangnya ke neraka (panjangnya setahun perjalanan).
 6. Puasa 7 hari pada bulan Rejab, ditutup daripadanya 7 pintu neraka.
 7. Puasa 16 hari pada bulan Rejab akan dapat melihat wajah Allah di dalam syurga, dan menjadi orang yang pertama menziarahi Allah dalam syurga.
 8. Kelebihan bulan Rejab dari segala bulan ialah seperti kelebihan Al-Quran ke atas semua kalam (perkataan). 
 9. Puasa sehari dalam bulan Rejab seumpama puasa empat puluh tahun dan diberi minum air dari syurga. 
10. Bulan Rejab Syahrullah (bulan Allah), diampunkan dosa orang-orang yang meminta ampun dan bertaubat kepada-Nya. Puasa dalam bulan Rejab, wajib bagi yang berpuasa itu: »» Diampunkan dosa-dosanya yang lalu. »» Dipelihara Allah umurnya yang tinggal. »» Terlepas daripada dahaga di akhirat.
 11. Puasa pada awal Rejab, pertengahannya dan pada akhirnya, seperti puasa sebulan pahalanya. 
 12. Siapa bersedekah dalam bulan Rejab, seperti bersedekah seribu dinar, dituliskan kepadanya pada setiap helai bulu roma jasadnya seribu kebajikan, diangkat seribu darjah, dihapus seribu kejahatan.

Sunday, February 19, 2012

9 mimpi Rasulullah SAW

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap mimpi para Nabi dan Rasul adalah mimpi yang benar yang datangnya daripada Allah SWT. Mimpi para Rasul adalah wahyu yang diwahyukan oleh Allah SWT. contoh mimpi Nabi Ibrahim a.s. baginda melihat baginda menyembelih anaknya Nabi Ismail a.s.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : "Mimpi yang benar itu ialah sebahagian daripada empat puluh enam sifat kenabian." (Hadis Riwayat Muslim)

Terdapat hadis daripada Nabi SAW, bahawa baginda telah bermimpi terhadap sembilan peristiwa sebelum baginda di Israkkan oleh Allah SWT.

"Daripada Abdul Rahman Bin Samurah ra berkata, Nabi Muhammad SAW bersabda: "Sesungguhnya aku telah mengalami mimpi-mimpi yang menakjubkan pada malam aku sebelum di Israkkan ... ... .."

1. Aku telah melihat seorang dari umatku telah di datang oleh malaikatul maut dengan keadaan yg amat mengerunkan untuk mengambil nyawanya, maka malaikat itu terhalang perbuatannya itu disebabkan oleh KETAATAN DAN KEPATUHANNYA KEPADA KEDUA IBUBAPANYA.

2. Aku melihat seorang dari umatku telah disediakan azab kubur yang amat menyeksakan, diselamatkan oleh berkat WUDUKNYA YANG SEMPURNA.

3. Aku melihat seorang dari umatku sedang dikerumuni oleh syaitan-syaitan dan iblis-iblis lakhnatullah, maka ia diselamatkan dengan berkat ZIKIRNYA YANG TULUS IKHLAS kepada Allah.

4. Aku melihat bagaimana umatku diseret dengan rantai yang diperbuat daripada api neraka Jahanam yang dimasukkan dari mulut dan dikeluarkan rantai tersebut ke duburnya oleh malaikut Ahzab, tetapi SOLATNYA YANG KHUSUK DAN TIDAK MENUNJUK-NUNJUK telah melepaskannya dari seksaan itu.

5. Aku melihat umatku ditimpa dahaga yang amat berat, setiap kali dia mendatangi satu telaga di halang dari meminumnya, ketika itu datanglah pahala PUASANYA YANG IKHLAS KEPADA ALLAH SWT memberi minum hingga ia merasa puas.

6. Aku melihat umatku cuba untuk mendekati kumpulan para nabi yang sedang duduk berkumpulan-kumpulan, setiap kali dia datang dia akan diusir, maka menjelmalah MANDI JUNUB DENGAN RUKUN YANG SEMPURNANYA sambil ke kumpulanku seraya duduk disebelahku.

7. Aku melihat seorang dari umatku berada di dalam keadaan gelap gelita di sekelilingnya, sedangkan dia sendiri di dalam keadaan binggung, maka datanglah pahala HAJI DAN UMRAHNYA YANG IKHLAS KEPADA ALLAH SWT lalu mengeluarkannya dari kegelapan kepada tempat yang terang - benderang.

8. Aku melihat umatku cuba berbicara dengan golongan orang mukmin tetapi mereka tidakpun membalas bicaranya, maka menjelmalah SIFAT SILATURRAHIMNYA DAN TIDAK SUKA BERMUSUH-MUSUHAN SESAMA UMATKU lalu menyeru kepada mereka agar menyambut bicaranya, lalu berbicara mereka dengannya.

9. Aku melihat umatku sedang menepis-nepis percikan api ke mukanya, maka segeralah menjelma pahala SEDEKAHNYA YANG IKHLAS KERANA ALLAH SWT lalu menabir muka dan kepalanya dari bahaya api tersebut.

Sahabat yang dimuliakan,
Setiap amal ibadah, amal soleh dan amal kebajikan yang kita kerjakan kita tidak tahu mana satu di antaranya yang boleh membantu kita ketika saat genting samaada ketika kita berada di alam barzakh atau di hari akhirat. Oleh itu kita jangan berkira-kira untuk melakukan sebanyak mungkin amal-amal kebaikan ketika di dunia ini.

Dalam banyak hadis kita jumpa Nabi SAW menceritakan bagaimana sesuatu amal walaupun nampak kecil tetapi ianya besar disisi Allah SWT. Contoh seorang lelaki memberi minum air kepada anjing yang kehausan telah diampunkan dosanya, seorang ahli ibadah yang telah beribadah selama 60 tahun dan dia melakukan zina tetapi sedekahnya berupa beberapa keping roti kepada seorang miskin yang kelaparan telah dapat memberatkan timbangan amal kebaikannya, bagaimana seorang lelaki yang melapangkan dadanya ketika menuntut hutang dan tidak memaksa orang yang belum mampu membayar hutangnya telah diampunkan semua dosa-dosanya oleh Allah SWT. Semua amal soleh ini membantu pengamalnya untuk mendapat pengampunan dan rahmat Allah SWT hingga melayakkan mereka memasuki syurga Allah SWT.

Bagaimana sembilan mimpi baginda di atas mengambarkan amalan-amalan tertentu yang dikerjakan oleh umatnya akan dapat menjadi syafaat ketika saat genting datangnya azab Allah SWT.

Oleh itu marilah sama-sama kita nasihat menasihati di antara kita sebagimana bersabda Rasulullah SAW yang bermaksud : "Sampaikanlah daripadaku walaupun sepotong ayat." (Hadis Riwayat Bukhari)

Maka, berusaha la untuk menyampaikan atau mengingatkan sahabat-sahabat kita tentang pesanan Rasulullah SAW walau hanya sepotong ayat. Nescaya kita akan mendapat ganjaran pahala yang besar dan InsyaAllah keredhaan Allah SWT.

Sunday, January 29, 2012

operasi masa

terperangkap aku dalam operasi masa.
langsung tak memberi kesempatan.
dalam mengejar dunia yang lagi satu.
hanya mampu menunai yang fardu.

masa sangat cemburu dengan kita.
sedar atau tidak, kitalah yang perlu mengejarnya.