pinjaman kata dari pujangga :)

Daripada Anas r.a, katanya : “ Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda : Allah s.w.t telah berfirman :
“ Wahai anak Adam ! Sesungguhnya selagimana kamu meminta dan berharap kepada-Ku, maka Aku akan mengampuni segala dosa yang telah kamu lakukan dan Aku tidak pedulikannya lagi.
Wahai anak Adam ! Sekiranya dosamu setinggi langit, kemudian kamu memohon ampun kepada-Ku, nescaya Aku mengampuni dosamu.
Wahai anak Adam ! Jika kamu datang kepadaKu dengan kesalahan sepadat isi bumi, kemudian kamu menemui-Ku di akhirat dalam keadaan kamu tidak menyekutukan-Ku dengan yang lain, nescaya Aku datang kepadamu dengan keampunan sepenuh bumi pula.”
[ Hadis riwayat Tirmizi ]

Friday, June 7, 2013

sempena ramadan

sempena ramadan yang bakal tiba.
semoga ada sesuatu yang akan aku kutip
dari isi ramadan yang dinanti
saban tahun, saban hari, saban detik.

tetapi hati meronta, memikirkan apakah aku akan sampai ke ramadan seterusnya?
dalam meraih cinta dan rindu Illahi.
aku yang baru melangkah mengenal dunia,
perlu bersaing untuk akhirat pula.

:) Allahurabb.. pada-Mu aku serahkan segalanya. pandu jiwa ini menuju syurga-Mu. syurga-Mu itu indah, untuk mendapatkan yang indah itu, aku perlu berjuang.

Allah tidak pernah mengecewakan.

Allah tidak akan pernah mengecewakan hamba-hamba-Nya yang merintih dan meminta kepada-Nya. mohonlah kepada Allah, Allah akan berikannya. Allah tidak memberi apa yang kita mahukan tetapi memberi apa yang kita perlukan. mahu dan perlu itu satu perkara yang berbeza. apa yang kita mahu itu, belum tentu baik untuk kita, tetapi apa yang kita perlu itu adalah yang tetap buat kita.

jika kita mahukan Allah ada di waktu susah kita, carilah Allah di waktu senang kita. Allah tidak akan pernah menolak jika hamba-Nya mencari di kala susah, tetapi kita perlu terlebih dahulu mencari Allah. Allah tidak akan terkesan jika kita berpaling dari-Nya, tetapi kitalah yang paling terkesan bila Allah berpaling dari kita. hilanglah segala nikmat yang Allah beri pada kita, hatta sekelip mata cuma. Allahurabbi.

Allah tidak menjanjikan setiap hamba yang bertaubat itu tidak mengulangi kesilapan dan kekhilafan yang sama, tetapi Allah menjanjikan setiap hamba yang berdosa itu akan diampunkan dosanya. kembalilah kepada Allah, mohonlah kepada Allah, Allah tidak akan mengecewakan hamba-Nya kerana fitrah seorang hamba itu adalah lemah dan hina.

p/s : Duhai Tuhan yang Maha Memahami setiap keluh kesah yang dialami hamba ini, pandulah jiwa ini untuk terus meraih redha-Mu. :)

Monday, May 27, 2013

detik.

menghitung detik berlalu.
terasa cepat masa berjalan.
hendak atau tidak.
sempatkanlah dirimu, diriku.
fikirkan sejenak.
bila esok bukan milik kita lagi.
cukupkah apa yang dibekali?

tanya sama hati, kenapa amal kurang?
nanti jawab hati, tanyalah iman.
iman nanti kata, engkau malas baca.
nanti engkau jawab, aku tak ada masa.

tetapi nanti bila
yang luas bertukar sempit,
yang sihat bertukar sakit,
yang hidup bertukar mati,

engkau akan menyesali,
setiap perkara yang pernah engkau jejaki.

#muhasabah cinta. dari Allah kepada Allah.

Thursday, May 9, 2013

jujur, aku terasa.

jujur, aku terasa.
jujur, kita kenal tak lama.
jujur, hati terusik.
jujur, hati kecewa.

cuba bertenang.
cuba diabai.

tapi aku sahabat yang setia.
setia pada bait kata.
setia pada pautan tali yang sama.

mungkin, padamu,
kita biasa sahaja.
tapi aku setia.
kerana setia aku terasa.

diabaikan barangkali.
dihindarkan barangkali.
tapi pada engkau, tidak mengapa.

bukan kau tak setia, tetapi cuma aku yang terasa.

:)


Tuesday, March 26, 2013

5 cara untuk berubah.











 





salam ukhwah untuk para sahabat. muslimin atau muslimat yang sudi membaca kotak pemikiran yang masih cetek dengan ilmu agama ini.

kepada para sahabat yang masih berjuang untuk berhijrah ke jalan Allah, kamu tidak keseorangan.
kerana aku juga salah seorang daripada hamba Allah yang sedang berhijrah. 
untuk berhijrah itu tidaklah begitu sukar, tetapi untuk mempertahankannya amatlah sukar.
kadang kala kita akan diketuk dengan dosa-dosa silam. atau mungkin juga hati kita mengjenguk dosa-dosa yang ingin kita tinggalkan. 
semoga ada manfaat yang diambil. semoga Allah memberkati penghijrahan kita ini. In Shaa Allah. :)

"Allah akan menghantar kepada kita orang-orang yang akan membawa kita ke jalan Allah, jika kita benar-benar ikhlas ingin berhijrah" - DENGAN IZIN ALLAH. :) 

Tuesday, March 19, 2013

jeda

lama juga, Ya Allah.
aku tinggalkan berhabuk.

lama juga, Ya Allah.
aku jeda.
terhenti tapi bukan berhenti.

mungkin aku masih mencari-cari jalan.

sering aku tanya.
mampukah aku seperti mereka?
tatkala cemburu menguasai.
tatkala rindu bertamu di hati.

Ya Rabb, hanya Engkau ada jawapannya.

satu aku pinta.
jangan biar aku tersungkur.
rebah, lemah, hilang pautan.
kerana hanya pada-Mu.
aku sandar harap.

#seiring mengejar dunia, sering kali kita alpa dengan nikmat kurnia Tuhan. muhasabah diri setiap masa, setap detk, agar nama Allah tetap terpahat di nurani. In Shaa Allah.

Monday, February 4, 2013

Allah Maha Pengampun

ada satu kisah yang ingin dikongsi bersama. mungkin ada yang boleh diambil. yang baik jadikan teladan. yang buruk jadikan sempadan. :)  In shaa Allah.



Kisah ini berlaku ketika zaman Nabi Musa a.s, di mana ada seorang lelaki yang fasik telah meninggal dunia. Dia sangat fasik hinggakan tiada seorang pun penduduk kampung sudi untuk mengebumikan jenazahnya. Bahkan, jenazahnya diseret oleh penduduk kampung dan dibuang ke kawasan najis unta. Lalu, Allah menurunkan wahyu kepada Nabi Musa a.s, “ Wahai Musa, ada seorang lelaki di kampung fulan meninggal. Jenazahnya dibuang ke kawasan najis unta. Dia adalah sebahagian daripada kekasih-Ku. Orang kampung tidak ada yang bersedia mengurusnya, maka uruskanlah. Segeralah kau berangkat ke kampung fulan. Mandikan, kafankan, solatkan jenazahnya dan kebumikan jenazahnya.”

Setelah mendapat wahyu, Nabi Musa a.s segera berangkat. Sampai sahaja di kampung si fulan, Nabi Musa a.s bertanya kepada penduduk kampung, perihal perilaku jenazah bersebut ketika hidupnya serta mengapa penduduk kampung tersebut memperlakukan jenazah sekasar itu. Jawab mereka, ‘ Dia mati ketika penduduk kampung sedang marah dan membencinya.’ Lalu Nabi Musa bertanya lagi, ‘ Di manakah jenazah itu dikuburkan? Kerana Allah telah memberikan wahyu kepadaku agar menguruskannya. Tunjukkanlah kepadaku di mana jenazah itu kalian buang?’ Penduduk kampung pun kemudian membawa Nabi Musa a.s ke tempat pembuangan jenazah itu.

Nabi Musa a.s menyaksikan sendiri keadaan jenazah yang dibuang di kawasan najis unta, dan mendengar langsung cerita perilaku sehariannya. Lalu, Nabi Musa a.s bermunajat kepada Allah, “ Ya Allah, Engkau memerintahkan kepadaku agar memandikan, mengafankan, solat jenazah dan menguburkan jenazahnya, padahal penduduk kampung menyaksikan bahawa semasa hidupnya dia selalu bermaksat secara terang-terangan. Sungguh hanya Engkaulah yang lebih mengetahui daripada apa yang mereka ketahui.”

Allah S.W.T menjawab, “ Hai Musa, memang benar apa yang mereka katakan itu. Dia adalah seorang yang sangat buruk akhlaknya. Tetapi, ketika sakaratul maut dia sempat meminta pertolongan kepada-Ku dengan tiga perkara. Seandainya semua orang yang berdosa bersedia meminta pertolongan daripada-Ku dengan tiga perkara sebagaimana si mayat lakukan, nescaya Aku akan memberikan pengampunan atas dosa-dosa yang telah mereka lakukan. Bagaimana Aku tidak bersedia mengampuni, sedang dia meminta pengampunan kepada-Ku, bukankah Aku Maha Pengasih lagi Maha Penyayang?”

Nabi Musa a.s bertanya lagi, “ Ya Allah, apakah tiga perkara itu”. Allah S.W.T menjawab, “Tiga perkara itu adalah : pertama, ketika sakaratul maut da berkata : ‘ Ya Allah, sungguh Engkau lebih mengetahui keadaan diriku yang selalu berbuat maksiat. Dalam hati kecilku, sungguh sangat membenci kemaksiatan yang aku lakukan. Tetapi, aku terpengaruh oleh tiga perkarayang selalu menggodaku, hingga maksiat pun aku lakukan. Tiga perkara yang selalu menyelubungi dan menggoda hatiku adalah hawa nafsu, teman bergaul yang jahat dan iblis. Ya Allah, sungguh Engkau Maha Mengetahui segala perilaku yang telah aku lakukan, hingga berkenan kiranya Engkau mencurahkan ampunan kepada hamba-Mu yang bersimbah dosa ini’.

Keduanya, ketika sakaratul maut dia berkata, ‘ Ya Allah, sungguh Engkau lebih mengetahui bahawa diriku telah banyak melakukan kemaksiatan, lantaran aku tinggal bersama orang-orang fasik. Sungguh nuraniku berkata, bahawa aku tidak suka berteman dengan mereka, dan lebih suka berteman dengan orang yang soleh. Lebih daripada itu, aku menyukai sifat zuhud orang yang suka beramal soleh, serta lebih senang duduk bersama mereka berbanding daripada duduk bersama orang fasik’.

Ketiga, ketika bersakaratul maut, ‘ Ya Allah, Engkau lebih mengetahui tentang diriku. Sungguh orang yang fasik sangat memerlukan pertolonganku, demikian pun orang soleh. Tentu aku selalu mengutamakan kepentingan orang soleh’.

Dalam riwayat Wahab bin Munabih, lelaki tersebut ketika sakaratul maut menjelang dia berkata, ‘ Ya Allah, bila Engkau berkenan mengamuni dosa-dosaku, tentu para kekasih-Mu dan para nabi-Mu akan berasa bahagia, sementara syaitan dan para pengikutnya akan berasa sangat sedih. Sebaliknya, jika Engkau tidak memberi pengampunan kepadaku, tentu para kekasih-Mu dan para nabi-Mu akan berasa sangat sedih, sementara syaitan dan para pengikutnya akan berasa gembira kerana telah berjaya menghasutku melakukan kemaksiatan dan berjaya mengheretku ke lembah neraka-Mu. Sungguh aku mengetahui bahawa kegembiraan para kekasih-Mu dan para nabi-Mu lebih Engkau sukai berbanding kegembiraan syaitan dan pengikutnya. Ya Allah, ku berharap dengan sepenuh kesungguhan, agar Engkau berkenan memberika keampunan kepadaku. Ya Allah, Engkau lebih mengetahui segalanya daripada diriku sendiri. Aku berharap, memohon sekiranya Engkau mencurahkan kasih sayang dan menjauhkan seksa neraka daripadaku yang berlumuran dosa’.

Kemudian Allah menyampaikan pernyataan kepada Nabi Musa a.s, ‘ Wahai Musa, lantaran rintihan hamba-Ku yang berlumuran dengan dosa, kemudian Aku mencurahkan belas kasihan, mengampuni serta melepaskannya daripada azab neraka. Sungguh Aku adalah zat yang Maha Pengampun, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, lebih khusus kepada hamba-Ku yang sedar dan mahu mengakui perbuatan dosa yang terlanjur dilakukannya. Wahai Musa, kerjakanlah semua yang Aku perintahkan. Betapa mulianya orang  yang sedar kemudian bertaubat daripada dosa, hingga kemudian Aku mengampuni dosa-dosa yang dilakukan selama di dunia. Demikian pula Aku mengampuni dosa-dosa orang yang bersedia mendirikan solat jenazah dan menguburkan jenazahnya’.